26 February 2009

Definisi Protokol

Perkataan 'protokol' dikatakan berasal daripada Bahasa Yunani iaitu protokollen yang menggabungkan dua kata dasar, protos dan koll. Protos bermaksud yang pertama manakala koll membawa maksud pelekat. Pelekat yang "pertama" merujuk sehelai kertas yang ditampalkan pada dokumen undang-undang untuk membuktikan kesahihannya.

Istilah protokol ini berubah-ubah dari segi penggunaannya. Pada suatu ketika, protokol dimaksudkan sebagai surat cara atau surat rasmi yang asal, berkenaan keputusan perundingan atau persetujuan dalam perjanjian. Kemudian protokol juga dirujuk pada bidang tatasusila diplomatik.

Di Perancis, protokol adalah rumusan etiket atau tatasusila yang harus dipatuhi oleh ketua-ketua negara dalam upacara tertentu, hubungan dengan duta-duta, ketua-ketua negara asing dan sebagainya.

Daripada Larouse Illustrated International Encyclopedia and Dictionary, protokol dapatlah difahami sebagai:

Suatu susunan keutamaan dalam pangkat dan status dan juga prosedur yang betul dalam pertukaran diplomatik dan dalam upacara-upacara negara.

Suatu draf permulaan atau memorandum dokumen diplomatik seperti ketetapan yang telah dipersetujui dalam rundingan untuk dimasukkan ke dalam suatu persetiaan formal dan ditandatangani oleh perunding-perunding.

Dalam kehidupan rakyat di Malaysia, perkataan protokol mungkin baru tetapi amalan protokol telahpun dipakai sejak dahulu lagi. Jika susunan keutamaan yang menjadi takrif utama, maka hal ini sudah wujud. Bahasa istana atau bahasa diraja dan tertib menghadap raja dan pembesar adalah etiket sosial yang telah sebati dengan budaya Melayu. Ringkasnya pada zaman kerajaan Melayu tradisi, protokol ini lebi banyak dilihat sebagai adat istiadat dan pantang larang istana.

2 comments: